Program Ramadan @ NADI 2026
24 Februari 2026 | Aktiviti TerkiniProgram Ramadan @ NADI 2026 merupakan satu inisiatif yang dianjurkan bagi mengimarahkan bulan Ramadan dengan pelbagai aktiviti bermanfaat dan berimpak positif kepada komuniti setempat. Program ini merangkumi pengisian berbentuk kerohanian, kemahiran serta pembangunan diri yang disusun secara terancang sepanjang bulan Ramadan.
Antara program yang akan dilaksanakan ialah Mahir Masak Edisi Ramadan pada 26 Februari bersama Chef Florence Tan yang menampilkan menu Udang Masak Lemak Nenas dan Biskut Bijan Rangup pada jam 11.30 pagi hingga 12.30 tengah hari. Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai penyediaan juadah berbuka puasa yang menarik dan menyelerakan.
Seterusnya, pada 28 Februari, program Ihya Ramadan: Jom Mengaji @ NADI akan diadakan dari jam 9.30 pagi hingga 10.30 pagi. Sesi ini melibatkan tadarus Al-Quran dan penguasaan tajwid bersama ustaz jemputan serta disertai dengan tazkirah ringkas sebagai pengisian rohani sepanjang bulan Ramadan. Pada 8 Mac pula, Ihya Ramadan: Jom Mengaji @ NADI diteruskan dengan Majlis Khatam Al-Quran bersama ustaz jemputan sebagai tanda kesyukuran setelah menyempurnakan bacaan Al-Quran.
Bagi memperkasa kemahiran peserta, beberapa siri “Short Learning Series” turut dianjurkan. Pada 3 Mac, Mahir Foto Short Learning Series memberi pendedahan tentang asas studio lighting, teknik serta tip pencahayaan dan fotografi produk serta makanan yang sesuai untuk promosi jualan Ramadan dan Raya. Pada 5 Mac, Mahir Jahit Short Learning Series memfokuskan kepada asas fashion styling dan panduan memilih padanan pakaian, warna serta gaya yang sesuai untuk tampil yakin dan bergaya di hari raya. Seterusnya pada 6 Mac, Mahir Masak Short Learning Series mengajar peserta menyediakan Portuguese Egg Tart yang sesuai dijadikan hidangan iftar dan rumah terbuka.
Pada 10 Mac, Mahir Jahit Short Learning Series akan memberi tunjuk ajar mengenai teknik asas membesar dan mengecilkan pakaian bagi mendapatkan padanan yang lebih kemas dan selesa. Kemudian pada 11 Mac, Mahir Foto Short Learning Series diteruskan dengan perkongsian tip fotografi menarik bersama influencer untuk menghasilkan gambar pagi raya yang lebih kreatif dan berkualiti.
Selain itu, Mahir Masak Edisi Aidilfitri pada 12 Mac bersama Chef Florence Tan akan memperkenalkan menu Ayam Rendang dan Chocolate Cup Fruitcake sebagai persediaan menyambut Aidilfitri. Program ini turut diserikan dengan Mahir Foto Competition pada 14 Mac yang menampilkan sesi tayangan langsung pertandingan Bawrek Kancil Musim ke-2 berserta sesi bicara karya dan ulasan daripada juri.
Secara keseluruhannya, Program Ramadan @ NADI 2026 diharapkan dapat menjadi platform yang menyatukan komuniti melalui aktiviti yang bermanfaat dan berilmu. Sehubungan itu, semua komuniti setempat adalah dijemput untuk hadir dan memeriahkan setiap program yang telah dirancang sambil bersama-sama menghayati serta menyemarakkan keberkatan bulan Ramadan yang mulia ini.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: